SERI KEMBANGAN, 25 Jan (Bernama) -- Program motor kecekapan tinggi (HEM) bagi sektor perindustrian untuk menjimatkan kos tenaga akan bermula tidak lama lagi.
Program itu merupakan satu usaha oleh Pusat Tenaga Malaysia (PTM) melalui Projek Peningkatan Kecekapan Tenaga Industri Malaysia (MIEEIP)nya.
Menurut PTM, HEM kurang menggunakan tenaga untuk menyempurnakan beban tugas yang sama seperti motor biasa.
HEM mengurangkan bil elektrik serta kos kendalian dan penyenggaraan melalui penurunan kadar kerosakan dan gangguan yang tidak dijangkakan serta hayat perkhidmatan motor yang lebih panjang.
"Kami berharap Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi akan mengadakan peraturan berhubung penggunaan HEM," kata Dr K.S. Kannan, Ketua Penyelaras Projek MIEEIP.
"Kami akan terus membuat cadangan dan mengemukakan saranan kepada kementerian itu. Saya rasa tindakan akan diambil tidak lama lagi," katanya selepas perasmian seminar mengenai kegunaan HEM dalam industri, di sini hari ini.
Di Malaysia, motor elektrik biasanya mengambil 70 peratus daripada keseluruhan penggunaan tenaga elektrik di kalangan industri-industri. Dalam industri tekstil serta pulpa dan kertas, motor memerlukan hingga 90 peratus daripada keseluruhan penggunaan tenaga elektrik.
Motor dalam sektor industri di Malaysia menggunakan tenaga elektrik bernilai hingga RM6 juta setahun, kata Kannan.
"Pada umumnya, HEM boleh menjimatkan purata dua hingga empat peratus daripada kos tenaga," katanya.
Kannan berkata walaupun harga HEM lebih tinggi daripada motor biasa, namun kerajaan menjadikan pembelian HEM menarik dengan menawarkan pengecualian duti import dan cukai jualan, serta elaun cukai pelaburan bagi kelengkapan cekap tenaga.
"Peruntukannya ada, tetapi HEM perlu dipopularkan dan digunakan dengan lebih meluas oleh orang yang memerlukannya," kata beliau.
Beliau berkata dengan kenaikan harga minyak serta tarif elektrik baru-baru ini, adalah lebih menjimatkan bagi industri menggunakan HEM untuk mengurangkan bil elektrik mereka.
Kannan berkata, dengan matlamat untuk meningkatkan kecekapan tenaga dalam sektor perindustrian, MIEEIP merancang untuk memperkenalkan HEM kepada 11 industri iaitu simen, pulpa dan kertas, kaca, kayu, getah, besi dan keluli, seramik, makanan, plastik, kimia dan tekstil, yang telah dikenal pasti sebagai pengguna tenaga elektrik yang banyak.
Projek itu dibiayai bersama oleh kerajaan, Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kemudahan Alam Sekitar Global dan sektor swasta.
Seminar hari ini dihadiri oleh kira-kira 100 peserta dari sektor pembuatan dan kerajaan.
Matlamatnya adalah untuk menyebarkan maklumat mengenai faedah-faedah yang boleh diraih daripada penggunaan HEM.
-- BERNAMA
Salam sejahtera..saya Azlan mohon tuan jelaskan lebih detail mengenai HEM dan pengiraan kos HEM vs Motor konvensional
ReplyDeleteTolong email saya di zulazlan.zainalabidin@camfil.com
ReplyDelete