Mengikut statistik Tenaga Nasional Berhad (TNB), import arang batu untuk penjanaan tenaga ialah 20.8 juta tan pada 2013; 19.3 juta tan (2014) dan 22.2 juta tan pada 2015.
Mengikut pecahan, kos bahan api berbentuk gas dan gas asli cecair ialah RM8.8 bilion bagi menjana 54,235 gwj tenaga, mewakili 45 peratus daripada keseluruhan tenaga yang dihasilkan.
Dua lagi ialah minyak atau distillates sebanyak RM220 juta untuk menjana 540 gwj atau 0.5 peratus; dan hidro sebanyak 4,256 gwj atau 3.5 peratus.
Ternyata, kos bahan api untuk menjana elektrik semakin meningkat. Dibandingkan pada 2007, gas asli adalah bahan api dominan yang mewakili 68 peratus campuran bahan api penjanaan elektrik di negara ini. Namun, peranan gas asli itu telah diambil alih oleh arang batu.
Kini kos gas asli adalah lebih mahal berbanding arang batu, yang seiring juga dengan program rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.
Malah, setelah empat tahun menyaksikan harga arang batu yang menurun dengan stabil, keadaan berubah pada separuh kedua tahun lalu apabila arang batu Newcastle Australia mencecah AS$109.70 pada 11 November 2016.
Ia merupakan peningkatan 132 peratus sejak paras terendah iaitu AS$47.27 pada 25 Januari 2016. Begitu juga dengan arang batu thermal Indonesia yang meningkat selama tujuh bulan berturut-turut ke paras AS$101.69 metrik tan pada Disember 2016.
Permintaan tertinggi elektrik mencecah 17,788 MW tahun lalu. Mujur dengan margin rizab tenaga sebanyak 29 peratus, negara masih mendapat bekalan yang berterusan.
Bagi memenuhi permintaan serta memastikan bekalan sentiasa mencukupi, industri penjanaan tenaga di negara ini melabur lebih RM15 bilion setahun untuk menampung kos bahan api bagi menjana elektrik, jumlah yang dapat membina dua kompleks menara berkembar Petronas.
Dengan pelaburan sedemikian, sejumlah 120,059 gwj elektrik dijana pada 2016 untuk memenuhi permintaan 8.45 juta akaun pengguna di Semenanjung Malaysia.
Walaupun permintaan untuk elektrik tumbuh 3.4 peratus setahun dalam tempoh lima tahun lalu, sektor penjanaan masih perlu mengeluarkan belanja besar untuk tampung kos bahan api disebabkan beberapa faktor.
Semua stesen janakuasa arang batu terkini menggunakan teknologi ultra-supercritical (USC), yang berupaya meningkatkan kecekapan penjanaan dengan menghasilkan lebih tenaga berbanding jumlah arang batu yang dibakar, serta mematuhi piawaian alam sekitar yang lebih ketat.
Mengoptimumkan kecekapan stesen janakuasa arang batu adalah penting kerana arang batu yang dibakar adalah 100 peratus diimport, yang tertakluk kepada harga pasaran dan juga tukaran mata wang asing.
Menurut TNB, arang batu yang diimport pada tahun lalu adalah dari Indonesia sebanyak 57 peratus, Australia (28 peratus), Rusia (12 peratus) dan Afrika Selatan (3 peratus).
Stesen janakuasa arang batu yang lebih efisien akan ditingkatkan di masa depan untuk memaksimumkan manfaat teknologi terkini.
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments:
Post a Comment