SUMBER TENAGA DIMANA-MANA

" Terima kasih kerana sudi melayari blog saya ini. Anda semua adalah terbaik kerana peka dengan isu ini. Marilah kita bersama mengamalkan konsep kecekapan tenaga walau dimana sahaja kita berada untuk kebaikan bersama"....arifridzuan 2017

Friday 14 July 2017

POTENSI SUMBER TENAGA ALTERNATIF BIOJISIM


Sumber tenaga semula jadi seperti gas dan petroleum semakin berkurangan dan dijangka akan habis pada satu hari nanti. Sementara itu kos penghasilan, kadar permintaan dan harganya pula semakin meningkat. Manakala sumber alternatif seperti tenaga nuklear pula dikatakan mahal dan berbahaya. Sesetengahnya pula boleh mengancam kehidupan dan alam sekitar. Oleh itu alternatif yang sesuai amat diperlukan bagi membendung masalah ini.
Sumber tenaga semula jadi yang berasaskan biojisim (biomass) dikaitkan dengan biologi atau sebarang bahan yang berasal daripadanya yang boleh digunakan untuk menjana tenaga. Biojisim atau bahan organik seperti kayu dan jerami padi boleh ditukarkan kepada tenaga melalui pembakaran bagi mendapatkan kepanasan yang digunakan bagi menjana tenaga elektrik. Bahan organik juga boleh diproses bagi menghasilkan gas pembakar seperti metana dan cecair bahan api seperti etanol. Pendek kata, sebarang jenis bahan organik termasuk tumbuhan, sampah-sarap dan sisa makanan merupakan biojisim yang boleh digunakan bagi membekalkan tenaga. Biojisim merupakan satu-satunya sumber yang sentiasa tersedia daripada sistem kitaran biologi semula jadi. Tetapi, sejauh manakah ia menggantikan sumber tenaga yang lain?
Penggunaan biojisim seperti kayu atau tumbuhan melalui kaedah pembakaran bagi menjanakan tenaga elektrik amat kurang sekali. Ini kerana penggunaannya bagi pembuatan kertas, makanan dan juga pembinaan memberikan pulangan ekonomi yang lebih tinggi. Kebanyakan sumber biojisim digunakan bagi mengganti pembuatan bahan yang sebelumnya berasaskan petroleum. Ini termasuklah dakwat daripada minyak soya, bioplastik, minyak pelincir dan lain-lain bahan kimia. Jelaslah sumber tenaga berasaskan biojisim tidak dapat mendominasi sumber tenaga lain. Namun begitu, pada keadaan di mana biojisim diperoleh secara ``percuma'' seperti bahan buangan dan sampah sarap, sumber tenaga atau bahan api yang sesuai boleh dihasilkan pada kos yang rendah.
Haiwan atau tumbuhan yang telah mati, najis dan sampah sarap merupakan bahan organik yang boleh digunakan sebagai sumber tenaga. Bahan organik ini mudah menjadi reput hasil daripada pembiakan bakteria. Proses pereputan ini berlaku pada keadaan ketiadaan bekalan oksigen atau anaerobik. Ia menghasilkan gas metana atau juga dikenali sebagai biogas. Biogas juga boleh diperoleh secara semula jadi dari kolam tertutup pereputan sisa kumbahan. Menarik sekali, kewujudan biogas telah lama di ketahui dan ia pernah digunakan bagi menyalakan lampu di jalan raya.
Selain daripada biogas, sumber tenaga lain seperti bioetanol dan biodiesel juga boleh diperoleh daripada tumbuhan. Spesies tumbuhan dan bijirin seperti jagung dan beras yang mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi adalah amat sesuai bagi penghasilan bioetanol. Bioetanol merupakan sejenis alkohol yang dihasilkan melalui proses penapaian di mana ragi di gunakan bagi menukarkan gula kepada etanol.
Bioetanol boleh dihasilkan pada kos yang rendah. Namun begitu hanya 25 peratus bekalan etanol dunia adalah bioetanol dan selebihnya dihasilkan dengan menggunakan tindak balas kimia. Antara negara yang terulung dalam menghasilkan bioetanol ialah Brazil. Sejak krisis bekalan minyak dunia pada tahun 70-an, ia telah berjaya digunakan dengan meluas sebagai bahan api kenderaan. Kejayaan Brazil dikatakan berkait rapat dengan kawasan pertaniannya yang luas.
Kejayaan bahan api alternatif di Brazil patut dijadikan contoh. Bermula dengan krisis kenaikan harga minyak pada pertengahan tahun 70-an, negara berkenaan menghasilkan sejumlah besar bioetanol bagi menghasilkan gasohol. Akhirnya, dengan bantuan pakar bioteknologi dan jurutera, kenderaan yang menggunakan 100 peratus bioetanol sebagai bahan api telah berjaya dicipta pada pemulaan tahun 80-an. Menarik sekali harga bioetanol pula adalah jauh lebih murah daripada petrol. Dalam masa kurang daripada 10 tahun bioetanol di perkenalkan, kini lebih daripada 80 peratus kenderaan di Brazil menggunakan bioetanol sebagai bahan api. Kejayaan ini telah diikuti oleh Amerika Syarikat yang kini menjadi negara kedua terbesar di dunia menggunakan bioetanol sebagai bahan api kenderaan. Di sebalik berkurangnya pergantungan kepada bahan petroleum, penggunaan bioetanol juga dikatakan telah mengurangkan kadar peningkatan karbon dioksida pada atmosfera dan juga merendahkan kesan rumah hijau.
Sementara itu di negara kita, terdapat juga usaha untuk mengeksploit biojisim sebagai suatu sumber tenaga. Contohnya penggunaan biogas daripada najis haiwan dan penghasilan biodiesel daripada minyak kelapa sawit. Usaha berkenaan telah di jalankan oleh pihak tertentu sejak tahun 80-an. Malangnya, perkembangan penyelidikan dalam bidang berkenaan kurang memberangsangkan. Tidak dapat dinafikan ada pihak yang berjaya mengeksploit biogas tetapi aplikasinya masih terhad kepada pihak berkenaan sahaja. Pada awal 90-an tentu ada di kalangan kita yang pernah melihat sebilangan kecil kereta mewah yang bergerak di atas jalan raya yang menggunakan biodiesel sebagai bahan api. Malangnya, penggunaan biodiesel tidak begitu mendapat sambutan kerana bekalannya yang terhad, mahal dan tidak ekonomi.
Tambahan pula minyak kelapa sawit sangat berguna bagi menghasilkan bahan lain yang bernilai tinggi seperti vitamin E dan sebagainya. Minyak biodiesel dikatakan lebih mesra alam kerana ia kurang menghasilkan karbon berbanding dengan minyak diesel biasa. Beberapa penemuan berkenaan telah berjaya dipatenkan dan tidak kurang juga yang mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak.
Sementara itu, negara kita berupaya bergerak lebih jauh lagi dalam penyelidikan biojisim bagi menghasilkan bahan alternatif yang sesuai. Banyak lagi aspek penyelidikan yang boleh dijalankan kerana negara kita merupakan salah satu negara yang kaya dengan sumber biodiversiti semula jadi. Kini, lebih daripada 70 spesies tumbuhan telah pun dikenal pasti di seluruh dunia yang mana ia boleh digunakan bagi menghasilkan tenaga. Sementara itu, terdapat lebih daripada 4,000 spesies tumbuhan yang boleh dimanfaatkan bagi pelbagai tujuan termasuk makanan, perubatan, tenaga dan mahupun penjagaan persekitaran. Berserta dengan kemajuan pesat di bidang pertanian dan bioteknologi (agrobioteknologi), tidak dapat dinafikan negara kita mempunyai keupayaan mengeksploit pelbagai spesies tumbuhan yang boleh digunakan bagi menghasilkan sumber tenaga alternatif dan tidak kurang juga produk lain yang berkepentingan ekonomi.



Share:

0 comments:

Post a Comment


"Tenaga perlu digunakan secara cekap untuk mengelakkan PEMBAZIRAN ....bagi kemandiran generasi akan datang. Anda mampu mengubahnya bertindaklah sekarang sebelum terlambat."

Blog Archive

DEFINISI

Tenaga
Merujuk kepada kebolehan atau kuasa untuk membuat sesuatu kerja.(‘Energy is the ability or power to do work.’).
Kecekapan Tenaga
Merujuk kepada penggunaan tenaga yang cermat, berhemat dan bijaksana.

KIRA BIL ELEKTRIK ANDA

KIRA BIL ELEKTRIK ANDA
Klik Gambar

INILAH SAYA...SEADANYA

Arif Ridzuan

Tempat belajar:
Sekolah Menengah Sains Kepala Batas, Pulau Pinang

Jawatan:
Ketua Pelajar (Head Perfect)
Exco Badar
Naib Pengerusi Kelab Memanah
Setiausaha Persatuan Sains
Guru Muda Matematik Tambahan

Pencapaian Akademik :
* Pelajar Terbaik Keseluruhan PT3 2015 = 10A
* Pelajar Terbaik Keseluruhan Tingkatan 4 2016 = Straight A

Pencapaian Kokurikulum
* Pingat Emas Program Kepimpinan UNITEN Peringkat Kebangsaan
* Pingat Gangsa Program FRIS Peringkat Antarabangsa
* Anugerah Pencapaian Terbaik Pertandingan Robotik Peringkat Negeri

Harapan
Menjadi pelajar terbaik SPM 2017 dengan 9A+ dan mendapat tajaan biasiswa YTN

JOM HUBUNGI SAYA

email : 221000arif@gmail.com
facebook: arif ridzuan
Boleh hubungi saya untuk bertukar-tukar maklumat mengenai pelajaran atau apa-apa jua perkara..saya sedia berkongsi idea dan tips..

WAJIB DIKETAHUI HAK ANDA SEBAGAI PENGGUNA

WAJIB DIKETAHUI HAK ANDA SEBAGAI PENGGUNA