Kuala Lumpur: Kerajaan bercadang memperkenalkan dua kadar tarif elektrik berbeza menerusi mekanisme Peningkatan Penggunaan Masa (eTOU) di sektor perindustrian dan komersial menjelang akhir tahun ini bagi memastikan pengurusan tenaga dijalankan secara efisien, sekali gus mampu mengurangkan penggunaan tenaga di negara ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTHA) Datuk Dr Nadzri Yahaya berkata, pelaksanaan itu bakal menyaksikan dua tarif elektrik yang berbeza iaitu kadarnya dikekalkan pada siang dan dikurangkan pada sebelah malam.
“Kerajaan kini dalam peringkat akhir melaksanakan eTOU yang bakal dijalankan secara berperingkat serta akan bermula dengan sektor komersial dan industri di mana setiap premis yang menggunakan meter mekanikal bakal ditukarkan ke meter digital.
“Keputusan ini dipersetujui kerana meter digital lebih sensitif dan akan memaparkan penggunaan tenaga lebih tepat berbanding meter lama manakala setiap penukaran meter terbabit tidak dikenakan sebarang caj,” katanya selepas merasmikan Kempen Celik Tenaga ExxonMobil, di sini semalam.
Beliau berkata, ketika ini projek perintis kaedah eTOU sedang dijalankan di Melaka dan Putrajaya yang memiliki infrastruktur berkaitan dan sebagai permulaan mekanisme itu akan dilaksanakan di sektor perindustrian berikutan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi sebelum diperluaskan kepada kesemua pengguna.
“Konsepnya sama seperti di Jepun iaitu kita merancang mengekalkan tarif elektrik pada waktu siang dan menurunkan kadar itu pada waktu malam. Ini membolehkan mereka memanfaatkannya untuk melakukan kegiatan seharian atau bagi keperluan industri,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Pengerusi Anak Syarikat ExxonMobil di Malaysia, See Kok Yew berkata, ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc melabur sebanyak RM10 bilion untuk membina keseluruhan projek TAPIS di seluruh negara yang dijangka memasuki mod pengeluaran tahun ini.
Beliau berkata, projek bermula September 2014 itu mampu menghasilkan 50 peratus keperluan gas asli serta 15 peratus minyak mentah dan kondensat untuk Semenanjung Malaysia.
Selain itu, ExxonMobil turut memperuntukkan lebih RM1 juta untuk menjayakan Kempen Celik Tenaga ExxonMobil melalui tiga inisiatif bagi membantu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan tenaga dalam kehidupan seharian dan untuk menggalakkan kecekapan tenaga.
Kempen itu adalah hasil kerjasama dengan Astro iaitu MIX.fm dan rancangan ‘Oh My English!’ musim keempat serta Perkhemahan STEM EKSPLORASI oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
0 comments:
Post a Comment